Wednesday 6 September 2017

Kelebihan Ramadan berbanding bulan lain

Kelebihan Ramadan tiada tandingan berbanding bulan lain. Ramadan dipanggil penghulu bulan yang membawa seribu rahmat dan keberkatan kepada sesiapa merebutnya. Ketibaan Ramadan, sentiasa dinantikan setiap orang beriman. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” - (Hadis riwayat Thabrani).

Orang beriman menjdikan Ramadan sebagai masa terbaik untuk meningkatkan kekuatan iman dan menyucikan diri daripada dosa. Sebab itu, ketibaan Ramadan disambut dengan perasaan gembira dan bersyukur dapat menunaikan ibadat puasa sekali lagi.   

Puasa Ramadan adalah sebahagian daripada tonggak kekuatan keislaman seseorang. Sesiapa berpuasa menandakan kekuatan iman dan ketakwaan yang lahir daripada keikhlasan mengabdikan diri kepada Allah.

Keistimewaan ibadat puasa di sisi Allah dalam menilai ketakwaan hamba-Nya dijelaskab dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: "Allah berfirman: “Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).  

Uniknya ibadat puasa ialah ia tidak mempunyai bentuk perlakuan yang boleh dijadikan bukti dilakukan atau tidak. Sebab itu kita tidak dapat menentukan seseorang itu sedang berpuasa. Bagaimanapun dapat ditentukan orang tidak berpuasa jika dilihat dia melakukan perbuatan membatalkan puasa.    

Ibadat menjadi benteng kekuatan iman. Nafsu sentiasa ingin bebas, sedangkan puasa mengekang nafsu daripada melakukan amalan yang biasa dilakukan pada bulan-bulan lain.

Sesiapa lemah iman dan tidak tahan melawan kehendak nafsu akan menyambut Ramadan dengan perasaan dukacita. Golongan ini sekadar Islam pada nama. Mereka menanggap Ramadan bulan menghalang kebebasan dan menyiksakan. 

Perintah berpuasa Ramadan diturunkan pada tahun kedua Hijrah. Firman Allah  di dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Berdasarkan kepada maksud ayat itu, ibadat puasa turut dilakukan umat nabi-nabi terdahulu. Apa yang berbeza hanya dari segi bilangan hari dan ‘menahan’ diri berkaitan hal tertentu. 

Contohnya, pengikut Nabi berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu. Manakala itu, Nabi Musa ketika bermunajat di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam berpuasa dengan meninggalkan memakan roti dan meminum air.

Namun, perkara pokok yang tersirat di sebalik ibadat puasa ialah kepatuhan kepada perintah Allah. Puasa juga tanda bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakn Allah.

Sepanjang 11 bulan kita telah menikmati kebebasan (yang tidak bertentangan dengan syariat), maka sebulan Ramadan haruslah menahan diri bagi mengenang betapa selama ini kita telah merasai nikmat tanpa sekatan.   

Penganut beberapa agama lain juga berpuasa mengikut cara masing-masing. Hal ini membuktikan kekuatan amalan puasa dalam membentuk penganut yang berpegang teguh kepada ajaran agama. 

Dipercayai penganut agama lain yang turut berpuasa sebenarnya telah mewarisi amalan puasa para nabi terdahulu. Tetapi, di kalangan pengikut agama itu telah menukar beberapa amalan berpuasa mengikut sesuka hati. 

Ibadat puasa yang berkonsepkan ‘menahan diri’ menjadi latihan berkesan sebagai benteng menahan diri daripada melakukan perbuatan dosa. Institusi puasa yang dilakukan atas dasar keikhlasan adalah kem latihan yang melahirkan insan takwa. 

Sesiapa berpuasa, tetapi masih tidak meninggalkan perbuatan sia-sia, sama ada sepanjang melaksanakan ibadat puasa dan selepas itu, boleh dianggap telah gagal melaksanakan ibadat puasa mengikut maksud sebenarnya. 

Puasa yang tidak menepati konsep menahan diri daripada perbuatan buruk tidak mendapat balasan pahala. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak diperolehi apa-apa kebaikan, kecuali hanyalah rasa lapar dan dahaga.” – (Hadis riwayat Nasai dan Ibnu Majah).

Antara punca kegagalan mencapai tingkatan puasa terbaik ialah melakukannya secara tidak ikhlas. Aspek keikhlasan amat teruji dalam ibadat puasa. Tanpa keikhlasan akan menyebabkan puasa yang dilakukan tidak bersungguh-sungguh. 

Oleh itu, ibadat puasa yang dilakukan secara ikut-ikut tidak mencapai matlamat puasa sebenar. Orang yang berpuasa bukan diasaskan rasa ketakwaan tidak merasai nikmat sebenar puasa. Ketika orang beriman merasai kemanisan berpuasa, orang tidak ikhlas melakukannya dalam keadaan menderita menahan lapar dan dahaga. 

No comments:

Post a Comment