Thursday, 31 March 2016

KEDUDUKAN SULTAN SEBELUM CAMPUR TANGAN BRITISH




Sejarah kesultanan dan raja Melayu telah wujud di Tanah Melayu sejak lama dulu. Empayar Kesultanan Melayu Melaka menjadi sejarah hebat bangsa Melayu sebelum dikalahkan kuasa dari Eropah iaitu Portugis pada tahun 1511.

Biarpun sejarah Kesultanan Melayu Melaka terkubur, namun tahta sultan dan raja masih utuh di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Sultan mempunyai kuasa mutlak terhadap seluruh jajahan takluknya dari segi kedudukan dan kuasa. Sultan mempunyai hak untuk menentukan apa yang difikirkan terbaik untuk diri baginda, kerabat, pembesar dan seluruh rakyat.

Kedudukan tersebut terhakis dan bertukar apabila campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874.  Negeri-negeri Melayu satu demi satu terpaksa menerima kehadiran British sebagai penasihat. Biarpun kuasa Sultan masih wujud, namun agak terhad terutama sekali dalam kuasa ekonomi dan hubungan dengan pihak luar.

Kuasa dan kedudukan Sultan sebelum campur tangan Inggeris pada tahun 1874 menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing.

Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional, Sultan dibantu golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran. Semua Sultan Melayu mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial.

Ketua Kerajaan
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak Sultan tidak boleh dipersoal.

Rakyat termasuk pembesar tidak boleh membantah perintah Sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah Sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah Sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama.

Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah yang tidak ada pada golongan pembesar.

Melantik Pembesar
Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain.

Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.  Contohnya di Perak, sehingga tahun 1874, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar.

Dalam hal ini, Sultan yang melantik pembesar-pembesar daerah sahaja akan menerima sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya.

Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

Ini menunjukkan pembesar hanya menjalankan peranannya di bawah kuasa raja.  Apabila raja berkuasa melantik pembesar, baginda juga mempunyai hak untuk melucutkan jawatan mana-mana pembesar.

Menentukan Hubungan Diplomatik
Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan.

Ketua Pertahanan
Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, Sultan akan mengetuai angkatan tentera dan membuat keputusan bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar.

Ekonomi
Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan.

Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya.

Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk Sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera, membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya.

Sosial
Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

Ketua agama Islam dan Adat istiadat Melayu.
Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment